AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak di hadapan pintu pagar utama bangunan pentadbiran Kerajaan Selangor (SUK) tahun lalu.
Prosiding pendakwaan yang mengambil masa kira-kira 30 minit diadakan di wad premier Hospital Ampang Puteri di sini hari ini.
Pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mahkamah Shah Alam Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Difahamkan Jamal dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan sakit tulang belakang.
Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan pintu pagar keluar pos (1), bangunan SUK, Shah Alam pada pukul 10.15 pagi, 5 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Afendi manakala Jamal diwakili peguam bela, Mohd.
Nasir Yusof.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dan menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE











