KUALA LUMPUR 25 Mei – Polis sedang mencari Pengerusi Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Merah Malaysia (GNGMM), Datuk Seri Jamal Md. Yunos kerana meninggalkan kawasan Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini malam ini sebelum menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Jamal telah didakwa di hospital atas tiga pertuduhan hari ini dan mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap kes.
“Bagaimanapun ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang berjalan petang tadi, beliau telah meninggalkan kawasan hospital. Kita sedang mencari beliau untuk menyelesaikan proses dokumentasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Terdahulu Jamal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi tahun lalu .
Jamal, 48, membuat pengakuan tersebut hari ini dalam satu prosiding selama 30 minit yang dijalankan di hadapan Majistret Mahkamah Shah Alam, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di wad Premier, Tingkat 4, Hospital Pakar Ampang Puteri.
Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kira-kira pukul 10.45 pagi di hospital itu berikutan Jamal mendapatkan rawatan kerana mengalami sakit belakang.
Dia didakwa telah melakukan mudarat awam itu sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam di depan pintu pagar keluar pos (1) Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Shah Alam dekat sini pada pukul 10.15 pagi, 5 Oktober tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.
Megat Mahathir mencadangkan jaminan RM4,000 manakala peguam, Mohd. Nasir Yusof yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin sebanyak RM2,000.
Raja Noor Adilla membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 8 Jun ini di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Sepanjang prosiding, pihak media tidak dibenarkan masuk, malah pintu depan wad turut dikawal oleh pengawal keselamatan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, sekumpulan 25 lelaki diketuai Jamal mengadakan sidang akhbar membantah penganjuran ‘The Better Beer Festival 2017’ sebagai simbolik bantahan penganjuran pesta berkenaan.











