MELAKA 28 Mei – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan tujuh umat Islam yang tidak berpuasa termasuk seorang warga emas berusia 67 tahun dalam `Op Plastik Hitam’ yang dijalankan pasukan penguat kuasa jabatan itu sejak 17 Mei lalu.
Lelaki warga emas itu ditahan ketika leka menjamu selera di sebuah restoran Cina di Jalan Tun Ali di sini kira-kira pukul 12 tengah hari dalam operasi pada 19 Mei lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, ketika ditahan lelaki itu tidak memberikan sebarang alasan kerana menyedari perbuatannya itu menyalahi peraturan.
“Selain warga emas terbabit, JAIM turut menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang sedang leka makan di sebuah restoran India di Bukit Baru pada 24 Mei lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Rahimin, kesemua tujuh individu yang tidak berpuasa itu bersama tiga peniaga termasuk peniaga yang terlibat diberikan notis untuk hadir ke pejabat JAIM kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991.
Mengikut enakmen itu, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan kali pertama, manakala denda sehingga RM2,000 atau 12 bulan penjara bagi kesalahan kali kedua.
“Tujuh umat Islam yang didapati menjamu selera di premis bukan Islam dan tiga peniaga yang diberikan notis ini masing-masing berusia antara 20 hingga 71 tahun.
“Pegawai penguat kuasa turut menampal poster peringatan di semua lokasi premis yang beroperasi di siang hari,” katanya.
Beliau turut menasihatkan peniaga Muslim agar menjaga kesucian bulan Ramadan dengan tidak membuka premis makanan pada awal pagi.
“Janganlah memberi alasan untuk mencari keuntungan, sebaliknya hormatilah bulan Ramadan dengan mencari keberkatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











