Izzat teruja ke Sukan 
Asia Indonesia Ogos ini - Utusan Malaysia

Izzat teruja ke Sukan 
Asia Indonesia Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil merupakan antara pelumba termuda yang tersenarai bersama skuad berbasikal negara di pentas Sukan Asia 2018 di Palembang dan Jakarta Ogos depan.

Pelumba berusia 22 tahun itu disenaraikan untuk beraksi dalam acara lepas beramai-ramai lelaki bersama empat pelumba lain.

Menurut Izzat, keputusan yang dibuat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merupakan satu kejutan dan penghargaan buat dirinya yang mula aktif dalam perlumbaan profesional sejak 2013.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sudah bersedia untuk ke Sukan Asia walaupun senarai nama tersebut masih belum disahkan secara rasmi oleh Maj­lis Olimpik Malaysia. Walaupun peluang untuk ke sana masih 50 peratus, saya tetap menjalani latihan persediaan lebih awal.

“Saya baru pulang menjalani latihan di Turki. Ia adalah latihan yang sangat lasak kerana setiap pelumba harus me­nempuhi cuaca sejuk sekitar 5 hingga 15 darjah Celsius dan berbukit.

“Secara kasarnya latihan se­perti itu adalah sangat baik untuk berlumba di Sukan Asia. Ini kerana seperti yang kita tahu, perlumbaan di sana memang sangat sukar dan disajikan de­ngan laluan berbukit sepanjang perjalanan,” ujarnya.

Sebagai rekod, selain Izzat empat lagi pelumba yang bera­da dalam senarai awal untuk ke Sukan Asia bagi acara lepas beramai-ramai lelaki ialah Mohd. Hariff Saleh, Mohd. Shahrul Mat Amin, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki dan Muhamad Zawawi Azman.

Dua lagi pelumba iaitu Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi serta Nik Mohd. Azwan Zulkifle pula tersenarai pada acara ujian masa individu lelaki.

Dalam perkembangan lain, Izzat berkata, dia bakal me­nyertai saingan Jelajah Filipina bermula hari ini hingga Rabu sebelum terbang ke Poland untuk beraksi dalam satu lagi perlumbaan berstatus 2.1 hujung bulan ini.

“Saya akan melihat perkembangan prestasi dalam dua perlumbaan ini. Segala kelemahan akan saya perbaiki sebelum mewakili negara ke Sukan Asia 2018,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN