Isu pelantikan MB: Ahmad Zahid, Hishammuddin menghadap Raja Perlis - Utusan Malaysia

Isu pelantikan MB: Ahmad Zahid, Hishammuddin menghadap Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 22 Mei – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dipercayai berkaitan isu pelantikan Menteri Besar di Istana Arau, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun kedua-duanya yang ditemui wartawan di luar istana itu, enggan mengulas hasil pertemuan tersebut sebaliknya hanya melambai-lambaikan tangan dan mengucapkan terima kasih.

Situasi itu sekali gus mencetuskan persoalan sama ada isu pelantikan Menteri Besar masih belum selesai atau akan terus berlarutan lagi.

Dalam pada itu, kledua-dua pemimpin Barisan Nasional itu dilihat memasuki perkarangan Istana Arau dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih bersama-sama Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pukul 11.20 pagi.

Tidak lama kemudian, Tuanku Syed Sirajuddin dilihat memasuki Istana Arau dengan menaiki kenderaan rasmi baginda pada pukul 11.55 pagi.

Pertemuan dianggarkan berlangsung selama satu jam dan 20 minit sebelum kedua-dua pemimpin parti tersebut kelihatan meninggalkan istana itu pada pukul 1.15 petang.

Ketika melalui melalui sekumpulan wartawan dan jurugambar yang sedia menunggu di luar Istana Arau sejak pukul 10 pagi, Ahmad Zahid dan Hishammuddin hanya melambai-lambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih kerana enggan menjawab soalan mengenai isu pelantikan Menteri Besar.

Kemelut pelantikan Menteri Besar yang sudah memasuki hari ke-13 pada hari ini, seakan-akan menyamai situasi serupa pada 2008 yang mengambil masa selama dua minggu sebelum kerusi nombor satu negeri itu dimuktamadkan.

Sehingga hari ini, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum membentuk kerajaan negeri.

Persoalan timbul kerana Barisan Nasional (BN) telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya lalu.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya, Datuk Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Difahamkan, walau bagaimanapun perkara itu tidak diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin menyebabkan isu berkenaan berlarutan sehingga kini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN