ISU HUTANG RM1 TRILION
AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 27 Mei 2018 mengupas tentang isu hutang negara yang mencecah RM1 trilion sehingga mencetuskan semangat seorang pemuda untuk membuat kutipan derma kilat di seluruh negara bertujuan meringankan beban kerajaan sekarang melalui laman web ‘Selamatkan Malaysia’.
Dalam tulisan yang bertajuk Bagaimana belajar untuk menjadi kerajaan dalam ruangan Sudut Pandangan halaman 25, penulisnya Tay Ting Hian yang juga Timbalan Editorial akhbar berkenaan menyatakan betapa banyak pihak termasuk anak Perdana Menteri, Marina Tun Mahathir menyanjungi usaha pemuda tersebut semata-mata mahu menyelamatkan negara.
Itu satu perkara tetapi ada satu isu yang lebih penting berhubung dengan isu hutang RM1 trilion iaitu apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat pengumuman mengenai jumlah hutang tersebut, melebihi 65.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berlaku kejatuhan pasaran saham Malaysia selama dua hari berturut-turut.
Angka yang diumumkan itu jauh berbeza dengan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada hujung tahun lalu yang mana hutang negara yang dicatatkan adalah sebanyak RM686.8 bilion (50.8 peratus daripada KDNK).
Berdasarkan standard antarabangsa jika hutang negara di bawah 55 peratus daripada KDNK, kedudukannya masih dianggap dalam zon selamat. Atas sebab itu pihak kerajaan terdahulu sentiasa mengekalkan hutang negara tidak melebih 55 peratus daripada KDNK.
Apabila kerajaan baharu sekarang mendedahkan bahawa hutang negara melepasi RM1 trilion, persoalannya adakah kerajaan terdahulu secara sengaja menutup rahsia ini atau adakah benar negara sedang menghadapi krisis hutang negara yang parah?
Berdasarkan pemerhatian banyak pihak, angka hutang negara mula menunjukkan peningkatan secara mendadak selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memasukkan contingent liabilities secara terus ke dalam senarai hutang negara.
Untuk makluman, peranan utama contingent liabilities ialah memberi jaminan kepada hutang negara termasuk pinjaman yang dibuat oleh syarikat-syarikat kerajaan berkaitan serta pinjaman-pinjaman untuk pembangunan khas. Dengan kata lain, bukan beban hutang kerajaan secara langsung.
Contohnya, projek pembinaan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3). Termasuk juga skim pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memerlukan suntikan modal dari luar.
Ini bermaksud menurut penulis artikel ini, sekiranya contingent liabilities dihimpunkan ke dalam hutang negara, amalan itu bukan sahaja tidak sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu, malah bukan juga amalan biasa di peringkat antarabangsa.
BAGAIMANA MASA DEPAN MCA DAN GERAKAN?
AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 26 Mei 2018 pula memaparkan tulisan Pua Chun Seng yang mengupas mengenai masa depan Barisan Nasional (BN) khususnya MCA dan Gerakan selepas kedua-dua parti itu kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dalam tulisannya yang bertajuk Bolehkah BN bertahan lagi dalam ruangan Kolum ODN di halaman 38, Chun Seng menyatakan bahawa kekalahan teruk yang dialami oleh MCA dan Gerakan telah menyebabkan ahli-ahli di peringkat akar umbi mula mendesak agar kedua-dua parti berkenaan segera keluar daripada BN.
Bagaimanapun pucuk pimpinan MCA dan Gerakan telah memberi satu mesej cukup jelas, jika mereka keluar daripada BN, masa depan kedua-dua parti tersebut akan lebih gelap kerana terpaksa berjuang secara sendirian.
Dalam PRU-14, MCA hanya menang satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Gerakan tewas di semua kerusi yang mereka bertanding. Hakikatnya, PRU-14 telah menyaksikan bagaimana BN di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tewas di tangan Pakatan Harapan. Untuk rekod, BN telah memerintah negara ini selama 61 tahun.
Selain tewas di peringkat Kerajaan Pusat, BN turut kehilangan tujuh negeri. Hanya tiga negeri dikuasai oleh BN iaitu Pahang, Perlis dan Sarawak. Sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan itu Najib kemudian mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.
Berbalik kepada sebab-musabab kekalahan teruk MCA dan Gerakan, penulis artikel ini berpandangan, sebahagian besar masyarakat Cina menganggap pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan gagal menjadi pejuang rakyat sebaliknya lebih berperanan sebagai ‘pak turut’.
Masyarakat Cina juga melihat pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan tidak mampu menyelesaikan isu-isu membabitkan kepentingan rakyat antaranya pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilihat begitu membebankan. Akhirnya api kemarahan mereka tidak dapat dibendung. Kesannya, benteng BN yang selama ini dianggap kukuh turut musnah.
Ini ditambahkan lagi dengan faktor wujudnya skandal 1MDB yang sehingga saat ini kes itu masih dalam siasatan selepas dibuka oleh pihak kerajaan baharu tidak berapa lama selepas Pakatan Harapan memenangi PRU-14.
Hakikatnya, sebahagian besar rakyat menolak BN dan UMNO dan keputusan itu telah diterjemahkan pada PRU-14 yang lalu. Akibatnya parti-parti komponen terutama MCA dan Gerakan termasuk MIC turut menerima tempiasnya.
Tidak dinafikan rakyat dihimpit dengan pelbagai cukai tanpa diberikan sebarang jawapan lebih konkrit daripada pihak kerajaan terdahulu yang mana salah satunya melibatkan pelaksanaan GST. Sehubungan itu tidak hairanlah ketika Dr. Mahathir kembali aktif dalam arena politik, beliau mula mendakwa BN sebagai sebuah kerajaan yang tidak membela rakyat dan kempennya itu akhirnya berjaya.










