KEBEBASAN MEDIA PENTING
AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 14 Mei 2018 menyiarkan artikel mengulas kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.
Artikel bertajuk Realisasi harapan rakyat yang ditulis oleh wartawan, Chong Lee Teck disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlu halaman 17.
Kejayaan Pakatan Harapan itu disambut dengan perasaan gembira oleh kebanyakan rakyat.
Tetapi penulis sebagai seorang wartawan perlu mengekalkan ketenteraman jiwa kerana tahu tanggungjawab berat yang harus dipikul untuk mengawasi kerajaan baharu bagi memastikan segala janji dalam manifesto pilihan raya ditunaikan.
Suara rakyat telah berjaya menumbangkan kerajaan lama pada 9 Mei lalu. Kemarahan penduduk Malaysia yang agak luar biasa terhadap BN cukup memeranjatkan.
Ini menjadi amaran kepada kerajaan baharu bahawa suara rakyat adalah seperti air yang boleh membuatkan perahu terapung dan juga dapat menenggelamkan kapal.
Kerajaan Pakatan Harapan perlu ingat bahawa rakyat mahu hidup di sebuah negara yang diberi nafas baharu dengan berpegang kepada keadilan dan kebenaran.
Pentadbiran pakatan itu diharapkan dapat memperbetulkan segala kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN dan memastikan Malaysia benar-benar berpegang kepada demokrasi.
Langkah Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan senarai anggota Kabinet hanyalah satu permulaan dan tumpuan selepas ini adalah untuk menunaikan segala janji yang terdapat dalam manifesto pakatan berkenaan.
Rakyat sedang mengawasi kerajaan baharu itu dan mereka tiada masa lagi untuk berbulan madu.
Harapan utama rakyat adalah supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan bagi meringankan beban kewangan dialami keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Mereka juga mahu bantuan sara hidup disalurkan kepada semua pihak yang memerlukan tanpa mengira kaum.
Rakyat juga mahu diberi lebih banyak kebebasan dalam menyalurkan dan menerima maklumat. Sehubungan itu, mereka amat berharap Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.
Harapan lain adalah kerajaan baharu dapat memastikan pengagihan peruntukan kerajaan dibuat secara telus dan bebas daripada rasuah.
Wang itu adalah milik rakyat yang perlu diuruskan dengan baik agar faedahnya dapat dinikmati seluruh penduduk Malaysia.
Dalam pada itu, sebagai wartawan, saya berharap kerajaan baharu tidak menyekat kebebasan media massa untuk menyiarkan sebarang berita termasuk mengkritik Pakatan Harapan bagi memastikan segala dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Oleh itu, sudah sampai masanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula supaya media massa menikmati lebih banyak kebebasan untuk melaporkan sebarang berita.
BN, PARTI KOMPONEN PERLU BERUBAH
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 18 Mei 2018 menyiarkan artikel mendesak BN, UMNO, MCA dan Gerakan membuat perubahan secara drastik sekiranya mahu menarik semula sokongan rakyat.
Artikel ditulis oleh Tan Guan Fung bertajuk Bubar pelbagai parti dalam BN disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman C2.
Selepas tewas dalam PRU-14, pemimpin MCA dan Gerakan nampaknya tidak dapat menerima kekalahan itu.
Perkara itu terbukti ketika keputusan rasmi diumumkan, tiada seorang pun pemimpin parti terbabit berada bersama-sama dengan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mungkin ketika itu, pemimpin-pemimpin parti komponen baru terjaga daripada mimpi ngeri dan masing-masing cuba membawa diri. Mereka tidak mahu lagi duduk dan berdepan kekalahan bersama-sama dengan pemimpin UMNO.
Sekarang, pemimpin-pemimpin parti komponen BN termasuk UMNO sepatutnya sudah tahu punca kekalahan mereka. Ini disebabkan rakyat marah dengan gejala rasuah melibatkan beberapa pemimpin UMNO.
Adakah pemimpin-pemimpin terbabit telah insaf dan melihat semula kesilapan yang mereka lakukan?
Diharapkan tiada lagi mana-mana pemimpin UMNO yang tidak tahu kenapa BN tewas dan kurang arif apa yang rakyat mahu.
Sebelum ini, terdapat dua isu utama yang membelenggu UMNO sehingga menyebabkannya ditolak rakyat iaitu memperjuangkan nasib satu kaum sahaja dan rasuah. Walaupun pemimpin MCA dan Gerakan menyedari masalah itu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa bagi mengubahnya kerana sikap UMNO sendiri yang tidak menghormati perasaan parti komponen BN lain.
UMNO adalah punca sebenar BN tewas. Bagaimanapun, MCA dan Gerakan menyatakan mereka tetap setia dengan BN. Adakah kedua-dua parti itu masih tidak cukup puas dengan kekalahan teruk yang dialami?
Selama tiga kali PRU, orang Cina telah menolak BN dan bersedia menghadapi risiko bilangan anggota Kabinet kaum itu berkurangan. Masyarakat Cina selama ini mengharapkan MCA bangkit untuk mempertahankan maruah kaum itu tetapi sehingga kini masih gagal dilaksanakan parti berkenaan.
Adakah MCA masih tidak mengerti bahawa orang Cina bencikan BN? Jika parti itu tidak insaf dan masih bersekongkol dengan UMNO, adakah MCA masih boleh bangkit kembali?
Orang Cina bukan mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Mereka hanya mahu maruah kaum itu dihormati dan tiada lagi suara-suara mengatakan orang Cina balik China atau ungkapan apakah yang orang Cina mahu?
Sementara itu, kaum berkenaan berharap kekalahan terburuk dalam sejarah PRU akan membuatkan UMNO insaf dan tidak memainkan lagi isu-isu yang bersifat perkauman.
BN juga perlu dibubarkan dan digantikan dengan sebuah parti baharu yang mewakili pelbagai kaum. Selepas itu, diharapkan tidak wujud lagi UMNO, MCA, Gerakan dan MIC.
Jika BN kekal seperti hari ini dan masih dimonopoli oleh UMNO, tidak mungkin parti itu boleh memainkan peranan berkesan sebagai pembangkang yang kuat.









