RAUB 29 Mei – Bagi menjamin keselamatan dan kesihatan kanak-kanak yang dalam perjalanan ke sekolah satu inisiatif global yang dikenali sebagai Inisiatif Kesihatan Kanak-kanak atau Child Health Initiative diperkenalkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Safe Kid Malaysia.
Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. K. Kulanthayan berkata, inisiatif itu akan memberikan tumpuan kepada keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak khususnya semasa perjalanan ke sekolah.
“Program ini membawa konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu membawa beberapa agensi bergabung untuk memastikan keselamatan perjalanan kanak-kanak pergi dan balik dari rumah ke sekolah.
“Program Child Health Initiative di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Cheroh ini adalah yang pertama dilancarkan di Malaysia dengan kerjasama Global Alliance of NGOs on Road Safety yang berpusat di Geneva, Switzerland,” katanya dalam program Kempen Keselamatan Pejalan Kaki Kanak-kanak bersama murid SJKT Ladang Cheroh di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Raub, Jahidin Abdul Rahman yang merasmikan program tersebut.
Menurut Kulanthayan, inisiatif baharu itu merangkumi pelbagai kempen aspek keselamatan jalan raya, keselamatan alam sekitar dan keselamatan jenayah.
Beliau memberitahu, melalui inisiatif ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada kanak-kanak tetapi juga ibu bapa dan guru yang berulang-alik ke sekolah.
“Antaranya salah satu cara untuk menukar amalan orang dewasa yang tidak gemar memakai topi keledar ialah kita gunakan kanak-kanak sebagai ejen kerana apabila anak-anak pakai topi keledar mungkin akan ada kesedaran kepada orang yang lebih dewasa,” ujarnya.










