‘Ingatkan tanah runtuh’ - Utusan Malaysia

‘Ingatkan tanah runtuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mei – Bunyi dentuman kuat mengejutkan kira-kira 200 jemaah Masjid Bukit Antarabangsa dekat sini yang sedang membuat persiapan menunaikan solat isyak, semalam.

Keadaan gelap menimbulkan kebimbangan penduduk yang masih trauma dengan kejadian tanah runtuh kira-kira 10 tahun lalu.

Menurut seorang penduduk, Yuzaer Puteh, 43, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika dia berada dalam masjid untuk bersiap menunaikan solat.

“Bunyi dentuman memang sangat kuat sehingga sebahagian jemaah yang berada dalam masjid meluru keluar melihat apa yang berlaku.

“Jemaah yang baru tiba dan masih berada di luar kemudian memaklumkan terdapat ‘tanah runtuh’ dan kami terus menghubungi bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, sepasukan bomba tiba dalam masa kira-kira satu jam dan mereka mengesahkan hanya dua bongkah batu besar jatuh menimpa bangsal yang digunakan untuk membakar lemang di bahagian belakang masjid tersebut.

Semalam, sebongkah batu kapur sebesar 8,361 sentimeter persegi nyaris memusnahkan bangsal masjid tersebut.

Batu setinggi setengah tingkat bangunan itu terjatuh dari atas bukit berhampiran, bagaimanapun pihak bomba mengesahkan tiada pergerakan ta­nah berlaku dan kawasan tersebut disahkan selamat.

Seorang lagi penduduk yang juga Pengarah Program Pengawasan Cerun Bukit Antarabangsa, Eriko Motoyama berkata, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan banyak faktor antaranya gempa bumi, letupan di kawasan pembinaan ataupun terdapat rekahan semula jadi pada batu-batu tersebut.

“Penduduk di sini kebanyakannya sudah mendapat pendedahan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal tanah runtuh berikutan beberapa kejadian besar yang berlaku di sini.

“Jika dilihat dalam masa 10 tahun ini, trend tanah runtuh sudah berkurang, sebelum itu berlaku setiap dua tahun,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN