Indonesia luluskan undang-undang keganasan lebih keras - Utusan Malaysia

Indonesia luluskan undang-undang keganasan lebih keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 25 Mei – Indonesia hari ini meluluskan satu rang undang-undang baharu yang memberi kuasa kepada pasukan polis untuk mengambil tindakan lebih awal (pre-emptive) terhadap suspek keganasan berikutan beberapa insiden pengeboman yang mengakibatkan kematian di Indonesia sejak beberapa tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rang undang-undang tersebut sudah tertangguh hampir dua tahun lalu apabila Parlimen Indonesia masih ‘bergelut’ untuk memperincikannya termasuk definisi keganasan.

Bagaimanapun, beberapa siri kejadian pengebom bunuh diri yang berlaku dalam bulan ini meningkatkan tekanan supaya rang undang-undang tersebut diluluskan dengan segera.

Di bawah undang-undang baharu, polis akan dibolehkan menahan mana-mana suspek pengganas selama 21 hari berbanding selama seminggu dalam undang-undang sebelumnya.

Pihak berkuasa juga boleh mendakwa individu yang men­yertai atau merekrut kumpulan pengganas di negara ini atau tempat lain.

Sementara itu, pejuang hak asasi manusia melahirkan kebimba­ngan mereka tentang kemungki­nan rang undang-undang itu di­salah gunakan terhadap pihak lain yang dianggap sebagai ancaman.

Pada bulan ini, seramai 13 orang terbunuh dalam beberapa serangan pengebom bunuh diri di beberapa buah gereja dan balai polis di Surabaya yang dilakukan oleh dua keluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun.

Kedua-dua keluarga itu mempunyai hubungan dengan rangkai­an kumpulan pelampau yang dikaitkan dengan kumpulan Daesh.

Seorang anggota polis turut terkorban dalam serangan di sbeuah balai polis di Sumatera beberapa hari kemudian.

Sehubungan itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini memberi amaran untuk mengeluarkan perintah darurat sekiranya Parlimen gagal meluluskan rang undang-undang berkenaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN