KOTA SAMARAHAN 26 Mei- Sebanyak 76 surau dan masjid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Muara Tuang menerima sumbangan masing-masing bagi menjalankan aktiviti dan program bagi mengimarahkan bulan Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Muara Tuang,Datuk Idris Buang berkata, sumbangan tersebut merupakan bantuan bagi meringankan beban ahli jawatankuasa masjid dan surau dalam melakukan aktiviti pada bulan Ramadan.
“Ini adalah sumbangan kita dengan harapan ianya dapat sedikit sebanyak membantu menjalankan aktiviti Ramadan.
“Sumbangan seperti ini setiap tahun kita telah berikan, jadi gunakan ia sebaik mungkin,” katanya berucap di Majlis Sumbangan Ramadan kepada Surau dan Masjid dan Sumbangan Hari Gawai di Markas N16 Muara Tuang di sini sebentar tadi.
Pada majlis itu surau dan masjid dalam DUN Muara Tuang menerima sumbangan antara RM 1,000 hingga RM3,000.
Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan kepada 57 kampung Iban dalam DUN Muara Tuang bagi mereka mengadakan aktiviti sempena Gawai tidak lama lagi.
Idris turut menyeru umat Islam menggunakan bulan Ramadan ini untuk menggandakan amalan mereka.
“Ini peluang untuk gandakan amalan kita, tingkatkan amalan berbanding hari-hari biasa.
“Malah,dunia luar juga kini melihat umat Islam, jadi bersama kita tunjukkan indahnya agama ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











