KUALA LUMPUR 26 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sesi temu bual bersama stesen radio Amerika Syarikat (AS), Voice of America mendedahkan bahawa beliau mempunyai kaedah tersendiri untuk mengurangkan hutang negara kepada kira-kira RM800 bilion daripada RM1 trilion yang direkodkan pada waktu ini.
![]() |
|
DR. MAHATHIR MOHAMAD
|
Perdana Menteri berkata, kaedah itu sedang dibincangkan dengan parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
Malah beliau memberitahu, hutang berkenaan merupakan hasil kerajaan terdahulu yang telah mengumpulkan sejumlah besar pinjaman dari negara lain, dari pada bank asing dan sumber-sumber tempatan.
“Jadi, perkara pertama yang perlu kita lakukan, tentu saja, adalah untuk memastikan bahawa kita mampu membayar pinjaman itu dan cuba mengurangkan jumlah prinsipal yang telah dipinjam,” katanya seperti dipetik dalam portal Malaysiakini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, kerajaan PH kini menghadapi isu hutang besar kerana mewarisi sistem kewangan yang didakwa telah ‘dimusnahkan’ oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Nah, semasa 22 tahun saya menjadi Perdana Menteri dahulu, adalah agak mudah. Saya mewarisi sistem yang sudah ada. Apa yang saya perlu lakukan adalah memperkenalkan idea-idea baharu supaya kita dapat mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan Malaysia.
“Tetapi di sini, saya berurusan dengan sebuah negara yang sebenarnya telah musnah. Sistem kewangannya telah musnah,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, kerajaan baharu telah memperkenalkan sistem baharu atau sistem autoritarian setelah sistem kerajaan yang wujud selama ini didapati telah diabaikan dan tidak digunakan.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir juga menolak tanggapan bahawa beliau memikirkan semula untuk menghapuskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 iaitu janji utama PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
Katanya, beberapa kawalan perlu dikekalkan terhadap media untuk mengelakkan berlaku ketegangan kaum.











