KUCHING 22 Mei – Keceriaan jelas terpancar pada wajah 30 orang daripada tujuh keluarga kurang berkemampuan apabila diraikan berbuka puasa di Hotel Imperial di sini malam tadi.
Mereka diraikan oleh pihak Hotel Imperial sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (Hope Place).
Menurut Saufie Morni, 33, dia mewakili keluarganya pertama kali berbuka puasa di hotel dan menghargai usaha murni dijalankan oleh Hotel Imperial.
“Anak bongsu saya ini, Mira Syarmiela, 4, mengalami Myocarditis Arrhythmia ketika berusia setahun tujuh bulan yang menyebabkan dia kini susah bergerak dan bercakap.
“Doktor juga ada menyatakan bagi pesakit ini hidupnya tidak lama, sehingga berusia lima tahun yang mana 100 penghidap hanya seorang bernasib baik dapat hidup,” katanya.
Pada majlis itu, anak-anak daripada tujuh keluarga dari kawasan Petra Jaya dan Santubong turut menerima duit raya yang diserahkan Pengurus Besar Hotel Imperial, Patrick Kuek.
Hotel Imperial menyediakan ‘Jom Makan’ bufet berbuka dengan harga RM89 seorang manakala RM39 bagi kanak-kanak (lima ke 12 tahun) bermula 17 Mei lalu hingga 14 Jun nanti.
Antara juadah istimewa disediakan ialah kamping golek bersama nasi arab, ikan dengan sos istimewa chef, shawarma ayam, stesen gril untuk ayam, lembu dan sotong.
Sementara itu Pengasas Hope Place, Kelvin Wan berkata, CSR itu secara tidak langsung memberikan keceriaan kepada mereka kurang berkemampuan.
“Ketika ini, Hope Place menjaga 200 keluarga yang mana 35 peratus terdiri daripada keluarga Melayu.
“Hari ini tujuh keluarga dibawa berbuka puasa dan kebanyakan mereka merupakan ibu tunggal serta keluarga mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak pernah merasai pengalaman makan di hotel, ada yang tidak pernah makan aiskrim,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









