PENAMPANG – Pertandingan Unduk Ngadau Tahun 2018 menutup tirai selepas Hosiani James Jaimis dinobatkan sebagai ratu cantik Sabah sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) di sini hari ini.
Hosiani yang mewakili daerah Inanam berjaya memikat hati juri sekali gus menewaskan 45 peserta Unduk Ngadau dan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM86,050.
Hadiah disampaikan oleh isteri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau iaitu Datin Seri Dr. Jaina Sintian manakala mahkota disarungkan bekas juara Unduk Ngadau 2017, Kerinah Mah.
Tempat kedua pula disandang peserta Sherrylyn Jane Rannytho wakil dari Penampang yang membawa pulang hadiah bernilai RM22,900.
Sementara itu, tempat ketiga pula dimenangi Vanessa Audrey Gilbert dari daerah Putatan dengan membawa pulang hadiah berjumlah RM14,500. – K! ONLINE










