BNM mahu sekat penipuan sebelum wang dipindahkan - Utusan Malaysia

BNM mahu sekat penipuan sebelum wang dipindahkan

ABDUL Rasheed Ghaffour berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengubah pendekatan memerangi penipuan kewangan daripada sekadar mengesan transaksi mencurigakan kepada usaha menghalang mangsa daripada membuat transaksi sebelum ia berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia susulan peningkatan kes penipuan yang menyebabkan mangsa sendiri memindahkan wang mereka.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sistem amaran penipuan yang dibangunkan bersama industri perbankan dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dijangka menjalani ujian rintis dengan bank terpilih pada separuh pertama 2027 sebelum diperluaskan ke seluruh industri perbankan.

Ujarnya, sistem itu akan memberi amaran kepada bank dan pelanggan mengenai potensi risiko sebelum transaksi diselesaikan, sekali gus memberi ruang kepada pelanggan untuk berhenti seketika, berfikir dan mengesahkan transaksi berkenaan.

“Keupayaan ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan tambahan kepada pelanggan.

“Bagaimanapun, langkah ini perlu bagi mencapai keseimbangan yang sewajarnya antara menyediakan kemudahan dan melindungi pelanggan daripada penipuan, khususnya penipuan yang melibatkan mangsa sendiri membenarkan transaksi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026, di sini, semalam.

Menurut Abdul Rasheed, perubahan pendekatan itu penting memandangkan kira-kira 95 peratus kes penipuan dalam talian kini melibatkan mangsa yang diperdaya untuk memindahkan wang mereka sendiri.

“Teknologi telah mengubah cara kita mengakses perkhidmatan kewangan, melakukan transaksi dan berhubung. Malangnya, ia juga mengubah cara penjenayah membiayai dan menyembunyikan aktiviti mereka.

“Penjenayah tidak lagi beroperasi pada kelajuan manusia. Mereka beroperasi pada kelajuan teknologi,” katanya.

Beliau berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI) turut menjadikan jenayah kewangan semakin pantas dan kompleks, termasuk melalui kandungan yang mampu meniru suara dan penampilan seseorang dengan tahap ketepatan tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, sektor kewangan berjaya menghalang kira-kira RM1.9 bilion transaksi penipuan dalam enam bulan pertama 2026, mengatasi RM1.2 bilion yang berjaya dihalang sepanjang tahun lalu.

Katanya, lebih RM37 bilion aset turut berjaya diperoleh semula dalam tempoh lima tahun lalu, manakala kes jenayah kewangan yang kompleks dan berprofil tinggi terus disiasat serta didakwa.

Abdul Rasheed berkata pencapaian itu mencerminkan usaha memperkukuh rejim pencegahan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (AML/CFT/CPF) menerusi pendekatan seluruh negara.

Jelasnya, dalam tempoh 25 tahun lalu, Malaysia telah mengembangkan rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram tradisional kepada rejim yang lebih menyeluruh bagi menangani pelbagai bentuk jenayah kewangan.

“Usaha ini dibina berasaskan tiga asas iaitu undang-undang yang lebih kukuh, institusi yang lebih kukuh serta pemahaman risiko dan pendekatan penyeliaan yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN