Honda turunkan harga semua model sempena sifar GST - Utusan Malaysia

Honda turunkan harga semua model sempena sifar GST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Honda Malaysia Sdn. Bhd. mengumumkan pengurangan harga jualan bagi kenderaan Honda susulan inisiatif kerajaan melaksanakan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkuat kuasa 1 Jun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Is­hi­yama berkata, harga model pe­masangan tempatan (CKD) iaitu Jazz, Jazz Hybrid, BR-V, City, City Hybrid, HR-V, Civic, CR-V dan Accord dikurangkan antara RM4,088 hingga RM9,573 sebuah.

Sementara itu jelasnya, model kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) iaitu Odyssey dan Civic Type R juga akan dikurangkan masing-masing dengan RM14,362 dan RM18,072 sebuah.

“Dengan pelaksanaan kadar sifar GST bermula 1 Jun ini, pelanggan Honda berpeluang menikmati harga baharu sebelum pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Sebagai tambahan kepada penetapan GST tanpa nilai ini, pelanggan yang membeli model Honda terpilih turut akan me­nerima ganjaran Welcome Festive Rewards bermula 1 Jun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ishiyama, pelanggan berpeluang mendapatkan lebih manfaat seperti penjimatan tambahan dan bonus dengan setiap pembelian kenderaan mereka pada bulan Jun ini.

“Selain itu, alat ganti serta perkhidmatan penyelenggaraan termasuk caj buruh dan aksesori tulen Honda juga tidak akan dikenakan sebarang caj GST berkuat kuasa 1 Jun,” jelasnya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini