LONDON – Penjaga gol, Joe Hart mendedahkan dia masih belum dapat menerima keputusan disingkirkan daripada skuad England untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2018 di Rusia bermula 14 Jun depan.
Sebelum ini, Hart antara salah seorang pemain penting buat England pada aksi kelayakan Piala Dunia tetapi selepas gagal bermain lebih kerap di peringkat kelab bersama Manchester City dan West Ham United, dia terpaksa disisihkan daripada beraksi di Rusia.
“Selepas dua tahun mencuba dalam situasi sukar, sejujurnya saya masih belum boleh menerima keputusan disisihkan daripada skuad England ke Piala Dunia 2018 ini,” katanya.
Hart memiliki 75 kaps bersama England dan dia menjadi pilihan utama untuk aksi Piala Dunia 2014 serta Euro 2012 dan 2016.
Hart bermain untuk setiap perlawanan England bagi aksi kelayakan Piala Dunia sebelum Jack Butland mengambil alih tugas Hart pada aksi terakhir di Lithuania.
“Saya sangat berbangga kerana dapat bermain dengan pasukan berkualiti dan saya tahu apa yang saya boleh bawa kepada pasukan ini.
“Saya mendoakan kejayaan ini dan saya mahu mereka tahu, saya sentiasa berharap England akan membawa pulang kejayaan biarpun tanpa kelibat saya di sana,” kata Hart. – Agensi











