KOTA BHARU 27 Mei – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan memberi jaminan akan memastikan peniaga berdaftar cukai barang dan perkhidmatan (GST) mematuhi penetapan kadar sifar cukai tersebut sekali gus menurunkan harga barangan mulai 1 Jun ini.
Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Firdus Zakaria berkata, pihaknya akan memantau bukan sahaja peniaga yang berdaftar GST tetapi juga peniaga yang tidak berdaftar supaya hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban pengguna tercapai.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah membuat dokumentasi harga di 50 premis perniagaan yang berdaftar di bawah GST khususnya sektor peruncitan bagi memudahkan proses pemantauan pada awal Jun ini.
“Pengguna diharap memahami bahawa barang yang akan turun harga enam peratus mulai 1 Jun ini adalah barang yang dikenakan GST tetapi proses peralihan mungkin mengambil masa kerana peniaga terpaksa membuat harga baharu selain membabitkan stok lama.
“Amaran akan dikeluarkan kepada peniaga yang tidak menurunkan harga dan kami akan mengambil tindakan sekiranya barangan stok baharu seterusnya dijual pada harga lama.
“Pengguna juga boleh membuat aduan dan kami akan membuat siasatan dan pastikan peniaga membayar balik kepada mereka,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Firdus menegaskan, peniaga tidak wajar mengambil kesempatan memanipulasi harga dalam tempoh peralihan ini kerana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Kementerian Kewangan telah mengumumkan GST terhadap barang dan perkhidmatan sama ada buatan Malaysia atau yang diimport akan dikenakan kadar sifar peratus berbanding 6 peratus, berkuat kuasa 1 Jun ini.
Sementara itu, Firdus berkata, hasil pemantauan mendapati harga barang keperluan terutama barangan basah menjelang musim perayaan di seluruh daerah di negeri ini masih lagi berpatutan dan tiada gangguan bekalan setakat ini.










