KUALA LUMPUR 28 Mei – Para peniaga tidak dapat untuk menurunkan harga barangan secara mendadak sebagaimana yang diarahkan oleh Jabatan Kastam berikutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan pada kadar enam peratus akan disifarkan mulai Jumaat ini.
![]() |
|
MOHD. RIDZUAN
|
Presiden Persatuan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, ini berikutan kebanyakan mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan dari Jumaat ini untuk menghabiskan simpanan atau stok barangan yang diperolehi dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dari pemborong dan pembekal sebelum ini.
“Arahan Jabatan Kastam perlulah praktikal dalam memberikan arahan tersebut. Sebagai contoh jika peniaga telah membeli sebalang kuih atau biskut Raya dengan harga RM30 sebalang termasuk GST, adakah mereka boleh menjual dengan harga RM24 sebalang misalnya hanya semata-mata kerana GST disifarkan pada 1 Jun ini.
“Sedangkan kebanyakan barangan telah dibeli daripada pihak pembekal dan pemborong dengan harga termasuk GST tersebut. Jadi, pihak Kastam mesti memahami situasi ini dan tidak menekan para peniaga supaya mesti menurunkan harga dengan segera dan mendadak mulai Jumaat ini,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam yang meminta semua peniaga dikehendaki menurunkan harga barang dan perkhidmatan mulai Jumaat ini berikutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan pada kadar enam peratus akan disifarkan manakala perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ditangguhkan.
Ridzuan berkata, para peniaga tidak ada masalah untuk menurunkan harga ekoran sifar GST tersebut namun mereka memerlukan masa bagi memastikan juga pihak pembekal dan pemborong juga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga. – UTUSAN ONLINE











