JITRA – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menugaskan lebih 200 penguat kuasa untuk memantau harga barangan sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar yang akan berkuat kuasa 1 Jun ini.
Timbalan Pengarahnya Chin Ching Chung berkata, mereka memantau perubahan harga barangan mentah dan kering di semua pasar awam dan pasar raya bagi memastikan peniaga mematuhi dasar GST sifar itu apabila dilaksanakan kelak.
“Setiap penguat kuasa ditugaskan memantau lima premis dan mencatatkan harga 30 jenis barang sewaktu GST dikenakan pada kadar enam peratus sekarang dan selepas dikenakan pada kadar sifar.
“Ini bermakna setiap daripada mereka perlu melihat perbezaan harga 150 item barangan secara keseluruhannya. Pemeriksaan ini dijalankan secara berkala dan sudah dimulakan sejak beberapa hari lalu sehingga Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya selepas melakukan tinjauan di pasar awam Jitra, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Cawangan KPDNKK Kubang Pasu Mohamad Amir Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Perdagangan Dalam Negeri, Dr Salmee Said. – Bernama










