Harga ayam kembali turun - PPDNKK - Utusan Malaysia

Harga ayam kembali turun – PPDNKK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Mei – Harga ayam proses di pasar-pasar basah sekitar ibu negara didapati meningkat antara 30 sen hingga 50 sen pada awal Ramadan tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, pemerhatian itu adalah hasil pemeriksaan dan tinjauan pegawai penguat kuasa di premis-premis perniagaan pada tempoh sebelum dan semasa Ramadan.

“Walau bagaimanapun, hari ini harga ayam telah turun ke paras antara RM7.50 hingga RM8 dan rata-rata peniaga memberitahu harga kembali seperti sedia kala kerana pembekal turunkan harga.

“Dalam masa sama, kami juga percaya kenaikan harga ayam pada dua hingga tiga minggu sebelum ini bersifat sementara dan hanya pergerakan yang nomal dalam pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 12 kumpulan yang terdiri daripada 60 pegawai penguat kuasa PPDNKK digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan tersebut termasuk di pasar raya, pasar awam, pasar basah dan lain-lain seperti kedai runcit, kedai serbaneka serta restoran.

Dalam perkembangan sama, Ummi Nasrah berkata, harga barangan lain seperti telur ayam, santan, kelapa parut, cili merah, kobis dan tomato didapati stabil serta tidak berubah.

Semalam, beliau mengumumkan sebanyak 99 jenis barangan mengalami kenaikan harga antaranya ayam proses.

Atas sebab itu, beberapa teguran telah diberikan kepada peniaga yang didapati menaikkan harga jualan selaras dengan konsep penguatkuasaan berhemah dan berimbang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN