PILIHAN RAYA Umum Ke-14 (PRU-14) telah berakhir. Ketika penulisan ini dinukil, Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru selesai memilih barisan Kabinet Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Beberapa kerajaan negeri juga dibentuk yang menyaksikan beberapa negeri berubah kepimpinan badan legislatif dan eksekutifnya. Ini menunjukkan mandat pentadbiran kerajaan telah ditentukan oleh rakyat menerusi saluran demokrasi yang sah.
PRU-14 kali juga membuktikan adanya kesedaran dalam kalangan rakyat akan tanggungjawab yang boleh dimainkan mereka selaku pemilih seperti yang dinyatakan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun hari pengundian ditetapkan pada hari bekerja oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pemilih bersemangat keluar mengundi. Namun tidak dapat dinafikan masih terdapat penambahbaikan yang boleh dilakukan SPR untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya pada masa hadapan.
Keberkesanan perjalanan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bergantung kepada tanggungjawab yang dimainkan oleh wakil-wakil rakyat di blok kerajaan mahupun di blok pembangkang. Mereka diberi harapan besar oleh rakyat untuk menjadi orang tengah menyampaikan aspirasi mereka di Parlimen atau DUN.
Lantaran itu apabila terdapat wakil rakyat daripada blok pembangkang yang melompat masuk menyertai blok kerajaan selepas memenangi pilihan raya, ia sesuatu yang merugikan dan mendukacitakan. Atas apa alasan sekalipun, amalan melompat parti daripada parti yang kalah menyertai parti yang membentuk kerajaan atau sebaliknya bukanlah satu tindakan yang matang.
Walaupun, penulisan ini tidak diniatkan untuk menafikan hak yang diberi dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10 iaitu kebebasan bercakap, berhimpun ataupun berpersatuan. Akan tetapi isu yang lebih besar adalah wakil rakyat perlu berfikir mengenai keputusan rakyat yang telah memilihnya serta pasukannya untuk mewakili kawasan mereka. Kejadian yang melibatkan isu ini bukanlah perkara baharu.
Wakil-wakil rakyat perlu akui bahawa Parlimen serta DUN adalah satu medan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk ahli-ahlinya berhujah dan berbahas mengenai isu-isu rakyat serta meluluskan rang undang-undang. Sehubungan itu, kekuatan blok pembangkang amat diperlukan untuk memastikan wujudnya semak dan imbang dalam perkara-perkara berhubung dasar kerajaan, tindak-tanduk kerajaan serta rang undang-undang yang dibawa oleh kerajaan supaya selaras dengan aspirasi dan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam isu ini, memandangkan tiada undang-undang mengenainya digubal, integriti dan kesedaran moral serta perasaan tanggungjawab boleh menjadi satu mekanisme untuk menghalang kejadian lompat parti ini berlaku.
Wakil-wakil rakyat perlu sedar mereka membawa kepercayaan yang diberikan rakyat untuk menjalankan amanah yang diuar-uarkan. Justeru dimanakah integriti seseorang wakil rakyat yang menyertai blok parti kerajaan semata-mata kerana tidak mahu menjadi wakil rakyat pembangkang? Sedangkan semasa berkempen, mereka menguar-uarkan janji manifesto parti sekiranya rakyat memilih mereka. Persoalan selanjutnya timbul apakah yang terjadi kepada janji dan manifesto yang menjadi kayu ukur pengundi semasa membuat keputusan?
Kini adalah masa untuk setiap wakil rakyat untuk bekerja dan mewakili kepentingan mereka di Parlimen ataupun DUN. Bagaimanapun, wakil rakyat perlu memastikan tindakan mereka selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada Persekutuan Malaysia.
Seharusnya Malaysia mengadakan undang-undang atau peraturan seperti di United Kingdom bagi memperhalusi keadaan politik semasa dan menghentikan perbuatan lompat parti. Di sana, jika ada mana-mana wakil rakyat yang ingin tukar parti yang mereka wakili selepas memenangi mana-mana kerusi, dia haruslah melepaskan pegangan kerusi yang dimenangi dan pilihan raya kecil perlu diadakan mempertandingkan semula kerusi itu.
Tuntasnya, harapan rakyat pada pasca pilihan raya adalah supaya kerajaan yang dipilih berjaya menjalankan amanah dan mengotakan janji. Segala tindak tanduk serta tindakan mana-mana wakil rakyat harus selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara.
PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah.











