Hapus GST beri penarafan negatif - Utusan Malaysia

Hapus GST beri penarafan negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mei – Rancangan Malaysia untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan memberikan penarafan kredit negatif kerana ia me­ningkatkan kebergantungan kerajaan terhadap hasil yang berkaitan dengan minyak, serta menyempitkan asas percukaian dan menyekat pertumbuhan fiskal.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moodys Investors Service,
ANUSHKA SHAH

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Investors Service, Anushka Shah berkata, melainkan jika kerajaan memperkenalkan langkah-langkah pengurangan lain sekurang-kurangnya dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, penghapusan GST akan memberi kesan negatif bersih ke atas hasil kerajaan, biarpun disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi.

“Dengan mengandaikan per­kong­sian stabil berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengambil kira corak bermusim, kami menganggarkan ke­rugian hasil daripada penurunan GST pada sekitar 1.9 peratus daripada KDNK tahun ini,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasil kutipan GST pada tahun 2017 berjumlah RM44.3 bilion atau 3.3 peratus daripada KDNK.

Rabu lalu, Kementerian Kewa­ngan mengumumkan penurunan kadar GST daripada enam peratus kepada sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun 2018 dan kerajaan juga akan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang pernah dilaksanakan sebelum pelaksanaan GST pada 2015.

Tambah Shah, kemungkinan besar formaliti undang-undang termasuk pemansuhan Akta GST dan cadangan Akta SST baharu akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan datang dan pihaknya menjangkakan pada akhir bulan Jun atau awal Julai untuk melaksanakan SST.

Shah berkata, jika SST dikuatkuasakan pada Julai, kerugian daripada hasil kerajaan adalah sebanyak satu peratus daripada KDNK berbanding 1.6 peratus yang direkodkan sebelum pengenalan GST.

“Walaupun kerugian ini dapat dikurangkan oleh harga minyak yang lebih tinggi, namun mereka bukan merupakan pengganti tetap untuk GST dan tidak dapat mengimbangi kehilangan pendapatan berikutan ketidaktentuan harga bahan api tersebut.

“Memang, pengenalan GST pada tahun 2015 bertujuan untuk mengurangkan pergantu­ngan Malaysia ke atas pendapatan berkaitan minyak dan ia telah berjaya dicapai,” katanya.

Selain itu katanya, pada tahun-tahun akan datang selepas pengenalan semula SST, ia akan mewujudkan kekurangan pendapatan sebanyak 1.7 peratus daripada KDNK jika GST kekal pada kadar sifar peratus.

“Bagaimanapun menurut kerajaan, rasional di sebalik penghapusan GST adalah ia akan mening­katkan penggunaan swasta dan pertumbuhan ekonomi, menambah dana cukai melalui peningkatan cukai korporat dan kenderaan bermotor serta cukai dan duti import.

“Kami bagaimanapun tidak memasukkan kesan ini dalam unjuran kerana kami tidak nampak kesan pengganda yang cukup besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN