Hamilton tawan Litar Catalunya - Utusan Malaysia

Hamilton tawan Litar Catalunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA – Pelumba pasukan Mercedes, Lewis Hamilton melakar kemenangan kali kedua berturut-turut musim ini apabila muncul juara pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Catalunya malam tadi dengan merekodkan masa 1 jam 35 minit 29.972 saat .

Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak hadapan langsung tidak berdepan cabaran apabila selesa mendahului saingan dengan perbezaan masa cukup besar sepanjang perlumbaan.

Tambah manis, aksi di Catalunya itu juga menyaksikan Mercedes mendominasi sepenuhnya perlumbaan apabila rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas turut menjejakkan kaki ke podium tempat kedua.

“Satu perlumbaan yang cukup hebat pada hari ini (semalam), namun saya akui ia tidak boleh dilakukan tanpa bantuan rakan sepasukan. Saya dapat rasakan satu aura yang cukup berbeza pada musim ini.

“Sebelum perlumbaan bermula, memang kami letakkan sasaran untuk merangkul kedudukan 1-2 dan saya gembira kami mampu melakukannya. Saya harap aksi seperti ini mampu diteruskan pada perlumbaan akan datang,” kata Hamilton.

Pada masa sama, perlumbaan itu juga dihiasi dengan beberapa insiden termasuk pelanggaran yang melibatkan pelumba Haas, Romain Grosjean, pelumba Renault, Nico Hulkenberg dan Pierre Gasly daripada Toro Rosso seawal pusingan pertama, sekali gus memaksa kereta ke­selamatan dikeluarkan.

Sementara itu, rekod sepusingan terpantas yang dipegang Kimi Raikkonen sejak 2008 iaitu 1 minit 21.670 saat turut lebur apabila pelumba pasukan Red Bull, Daniel Ricciardo memperbaharui­nya dengan melakukan catatan masa 1:18.441s. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×