Haiqal tak tertekan ganti Khairul - Utusan Malaysia

Haiqal tak tertekan ganti Khairul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLET olahraga kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi sudah bersedia untuk mempertahankan gelaran raja pecut remaja Asia dimenangi Khairul Hafiz Jantan dua tahun lalu menjelang edisi Kejohanan Olahraga Remaja 2018 di Gifu, Jepun dari 7 hingga 10 Jun ini.

Khairul yang juga raja pecut Asia Tenggara dan pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan de­ngan catatan 10.18 saat (s), merangkul gelaran itu selepas merakam masa 10.36s sewaktu final 100m edisi dua tahun lalu di Ho Chi Minh, Vietnam.

Tugas itu kini bakal digalas Haiqal yang merupakan pemegang rekod 4x100m kebangsaan dan seorang lagi pelari muda dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Muhammad Zulfiqar Ismail untuk memastikan pingat emas 100m kekal milik Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada berasa tekanan tetapi ia adalah satu perkara yang bagus. Sekurang-kurangnya ia dapat menjadi motivasi dan pembakar semangat untuk saya cuba melakukan catatan masa terbaik di Jepun nanti.

“Jika saya dapat perbaharui rekod peribadi 10.47s dengan catatan masa dalam lingkungan 10.25s, saya yakin kemenangan sudah berada dalam ta­ngan,” kata Haiqal kepada Kosmo! semalam.

Malah, pemenang pi­ngat gangsa 100m Terbuka Malaysia 2018 itu berhajat untuk menjuarai satu lagi acara di Jepun iaitu 200m sekali gus mengubati kekecewaan Khairul yang terpaksa akur meraih tempat kedua pada dua tahun lalu.

“Sasaran 200m sama seperti 100m. Jika saya dapat perbaiki catatan peribadi 200m iaitu 21.38s dengan masa sekurang-kurangnya 21.20s, mungkin saya ada peluang,” jelas Haiqal yang turut menyasarkan pingat emas dalam acara 4x100m di Jepun.

Haiqal akan bergan­dingan dengan Zulfiqar, Abdul Wafiy Roslan dan Muhammad Aiedil Saadon serta Luqman Nur Hakim Khairul Ajmal dalam misi menjuarai acara 4x100m selepas kuartet dua tahun lalu sekadar meraih tempat kedua setelah tewas kepada Taiwan.

Jepun dan Taiwan dilihat menjadi pencabar utama buat skuad olahraga remaja negara selain musuh tradisi rantau Asia, Thailand, India dan Arab Saudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini