KUALA KANGSAR – Seorang guru mata pelajaran Sains di sebuah sekolah menengah di Lenggong didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di sini hari ini atas 19 pertuduhan kesalahan seksual dengan melakukan seks luar tabii dan seks oral terhadap tiga pelajar lelaki pada September hingga Mac lalu.
Tertuduh, Wan Khairul Aznim Wan Zahari, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan enam kesalahan seks oral dan 13 kesalahan liwat terhadap tiga pelajar lelaki iaitu dua mangsa berusia 14 tahun serta seorang 17 tahun.
Duda yang tidak mempunyai cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah sekolah menengah dan sebuah premis di sekitar Gerik kira-kira pukul 2 pagi hingga 11 malam pada 14 September hingga 25 Mac lalu.
Bagi kesemua pertuduhan, Wan Khairul Aznim didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguambela, Sharul Shabaath Ali.
Terdahulu, Hasyutantee memohon tertuduh ikat jamin sebanyak RM57,000 bagi 19 pertuduhan yang dihadapi oleh Wan Khairul Aznim.
Sharul Shabaath dalam rayuannya memohon satu jaminan yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya selain memberi cadangan untuk mencagar tanah sebagai ganti jumlah wang ikat jamin.
Rohaida bagaimanapun membenarkan ikat jamin sebanyak RM38,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan selain menolak cagaran tanah yang dikemukakan oleh tertuduh berikutan mahkamah hanya menerima deposit tunai.
Mahkamah menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.
Wan Khairul Aznim yang telah berkhidmat sebagai guru sejak 19 tahun lalu di beberapa buah sekolah telah didakwa atas 17 pertuduhan selepas melakukan kesalahan sama terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di mahkamah sama pada 26 April lalu.
Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kesalahan tersebut dan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM48,000 dengan seorang penjamin. – K! ONLINE











