Jika sebelum ini banyak pihak beranggapan guru agama hanya pandai mengajar kitab dan fardu ain sahaja namun telahan tersebut mungkin silap apabila guru Pendidikan Islam telah berjaya meraih Anugerah Ikon Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan 2018.
Lebih manis, kejayaan Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Malim, Melaka, Jasmi Amin, 39, itu hadir selepas berjaya menerima Anugerah Guru Inovatif peringkat negeri Melaka selama lima tahun berturut-turut bermula 2013.
Menurut Jasmi, idea untuk mencipta inovasi tercetus hasil keinginannya untuk membantu pelajar-pelajarnya yang berada di dalam kelas tercorot memahami setiap subjek Pendidikan Islam yang diajar.
“Sebagai satu-satunya guru subjek Pendidikan Islam di sekolah tersebut saya sentiasa ditugaskan untuk mengajar kelas paling belakang.
“Ramai guru yang beranggapan mengajar di kelas paling belakang merupakan satu tekanan dan tidak mengembirakan justeru saya jadikan cabaran tersebut dengan mencipta pelbagai kaedah pengajaran baharu yang lebih menarik dan interaktif bagi menarik minat pelajar-pelajar tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.
Kejayaan Jasmi itu membolehkannya membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, plak dan sijil.
Menurut Jasmi, antara inovasi yang diciptanya sejak empat tahun lalu sehingga ke hari ini ialah aplikasi Pintar Haji, permainan Global Zakat, Eksplorasi Solat dan buku Augmented Reality (AR) Cakna Solat.
Katanya, lebih membanggakan apabila ciptaannya itu telah berjaya dipasarkan di Brunei, Singapura dan Indonesia.
Dalam pada itu, johan Guru Inovatif bagi Kategori Individu Sekolah Rendah, Norhisham Jasmi, 36, berkata, beliau bersyukur kerana berjaya menjadi johan bagi kategori tersebut untuk dua tahun berturut-turut.
“Untuk tahun lalu, hasil ciptaan saya iaitu Jari Tajwid telah berjaya memenangi kategori yang sama.
“Bagi tahun ini, aplikasi i-Solat yang dicipta untuk memudahkan pelajar bersolat dengan mengikut sifat solat nabi Muhammad SAW pula yang berjaya meraih kejayaan bagi kategori berkenaan,” katanya yang mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Kubu, Melaka.











