Gunung berapi Kilauea hambur abu setinggi 3,600 meter - Utusan Malaysia

Gunung berapi Kilauea hambur abu setinggi 3,600 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONOLULU, Hawaii – Gunung berapi Kilauea di Hawaii menghamburkan asap tebal mengan­dungi abu vulkanik semalam, mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kualiti udara dan kemungkinan berlaku letusan besar.

Pihak berkuasa berkata, awan abu itu naik setinggi 3,600 meter ke udara dan mencetuskan amaran peringkat merah.

Menurutnya, penduduk yang berada di laluan awan tersebut berisiko mengalami masalah pernafasan, manakala orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada terdedah kepada pencemaran itu.

Letusan abu itu berlaku selepas sebuah rekahan baharu terbentuk di Pulau Besar di mana kawah Kilauea berada, menjadikan bilangan rekahan tanah yang dicetuskan oleh letusan gunung berapi itu pada 3 Mei lepas meningkat kepada 20.

Agensi Pertahanan Awam berkata, gas berbahaya keluar dari rekahan-rekahan tanah di kejiranan Lanipuna Gardens yang dikosongkan.

Agensi berkenaan me­minta orang ramai supaya tidak mendekati lokasi itu.

“Amaran peringkat merah bermakna bahaya segera kepada kesihatan manusia, justeru orang ramai perlu bertindak untuk mengelak pendedahan berterusan kepada abu vulkanik.

“Bahaya kesihatan boleh berlaku akibat terhidu abu vulkanik termasuk tercekik dan tidak boleh bernafas.

“Situasi serius ini boleh menjejaskan keseluruhan populasi yang terdedah,” kata agensi tersebut.

Setakat semalam, sekitar 40 kediaman dan bangunan lain telah dimusnahkan oleh lahar yang mengalir dari gunung berapi Kilauea yang terletak di tenggara Pulau Besar.

Kilauea merupakan antara gunung berapi paling aktif di dunia dan salah satu daripada lima gunung berapi yang berada di pulau itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×