LONDON: Kerajaan Britain mengiktiraf pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, selain menyifatkan pendudukan Israel ke atas wilayah itu sebagai tidak sah mengikut undang-undang.
Kerajaan Britain turut mengumumkan sekatan menyeluruh terhadap penempatan Israel serta larangan mengeluarkan lesen eksport senjata dan barangan lain yang secara material menyumbang kepada pendudukan berkenaan.
Perancis dan Kanada juga dijangka mengharamkan perdagangan barangan dari penempatan Israel, sekali gus memberikan kemenangan diplomatik penting kepada kerajaan Britain.
Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband, ketika berucap di Parlimen pada Selasa berkata, pendirian rasmi kerajaan adalah pendudukan Israel menyalahi undang-undang kerana Israel terus mengukuhkan kawalan, berhasrat meluaskan kedaulatan secara kekal dan meneruskan agenda perluasan wilayah menerusi penempatan haram.
Ini bermakna United Kingdom (UK) menerima pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024 yang menyatakan pendudukan Israel adalah tidak sah serta meletakkan kewajiban kepada negara lain untuk menentangnya.
“Kerajaan Britain bersetuju berlaku pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di beberapa kawasan di Tebing Barat yang dilakukan oleh pengganas peneroka.
“Terlalu kerap kerajaan Israel menutup mata terhadap perkara ini, malah lebih buruk lagi apabila anggota kerajaan berkenaan mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan yang menyokong pengusiran paksa rakyat Palestin,” kata Miliband.
Beliau berkata, tindakan akan diambil terhadap syarikat dan individu tertentu yang menyediakan perkhidmatan seperti pembinaan, pembiayaan infrastruktur atau hartanah bagi tujuan memperluas penempatan.
“Kepada mereka yang membiayai atau memudahkan kegiatan penempatan haram, ingin saya tegaskan anda akan berdepan sepenuhnya dengan sekatan Britain.
“Penempatan itu haram. Ia tidak sepatutnya dipromosikan di negara kita. Justeru, saya boleh mengumumkan kita akan melaksanakan larangan import barangan dari penempatan haram di wilayah yang diduduki,” katanya.
Sebanyak 11 negara lain termasuk Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol dan Sweden, turut menandatangani kenyataan bersama Britain yang diterbitkan kelmarin.
Mengenai penjualan senjata, beliau berkata, Britain sudah menggantung lebih 30 lesen senjata yang digunakan oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) di Gaza dan penggantungan itu masih berkuat kuasa sepenuhnya.- AGENSI










