KUALA LUMPUR 12 Mei – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan tiga nama menteri kanan Kabinet.
Mereka ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) dan Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.
Menurut Perdana Menteri, baki tujuh menteri lagi akan diumum pada minggu hadapan bagi melihat kesesuaian dan kelayakan.
“Saya meminta setiap parti mencadangkan tiga nama kepada saya untuk diberi pertimbangan untuk jawatan menteri-menteri dalam Kabinet.
“Kita tidak mahu barisan Kabinet yang terdiri daripada satu bangsa sahaja selain mempunyai wakil daripada keempat-empat parti gabungan,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Selangor, Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Turut sama dalam sidang akhbar itu ialah Muhyiddin, Mohamad dan Guan Eng. – UTUSAN ONLINE










