GST sifar positif bagi pengilang, pengusaha kecil dan sederhana - Utusan Malaysia

GST sifar positif bagi pengilang, pengusaha kecil dan sederhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan baharu untuk menguatkuasakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus mulai 1 Jun ini dilihat sebagai suatu yang  positif terutamanya kepada pengilang Bumiputera.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan  Bumiputra Malaysia (PPIPBM), Datuk Nurammar Abu Bakar berkata, langkah ini akan memberi kelegaan kepada pengilang secara keseluruhannya.

“PPIPBM konsisten berpendapat bahawa GST agak menekan pengusaha, terutamanya daripada kalangan yang berskala kecil dan sederhana yang mana ianya memberi tekanan kepada aliran tunai mereka.

“Walaupun  pengusaha dibolehkan menuntut bayaran balik cukai input, ia mengambil masa yang lama sehingga enam bulan dan ada juga mencecah tempoh setahun atas faktor teknikal sedangkan pengusaha perlu membuat bayaran cukai dengan serta merta apabila invois cukai dikeluarkan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa mesyuarat tahunan PPIPBM yang diadakan di sini, baru baru ini.

Mesyuarat tahunan tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Agung  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, dan turut dihadiri penaung  PPIPBM Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Menurut Nurammar lagi, dari  segi penurunan kos daripada pihak pengilang, ia mungkin tidak dapat dilihat pada kadar serta merta disebabkan pembelian awal stok bahan mentah yang masih mempunyai elemen GST didalamnya.

Namun, katanya, beliau yakin dengan tempahan baharu yang diterima, kos akan berkurangan.

Sementara itu, Shahruddin berkata, selepas penguatkuasaan GST pada kadar sifar peratus, peniaga dan pengusaha akan diberikan tempoh bertenang selama tiga bulan sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)  dilaksanakan pada September depan.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan itu, kerajaan  akan memantau kesan pelaksanaan  tersebut dan melihat sama ada harga barangan dapat diturunkan bagi tindakan seterusnya.

Beliau berkata kerajaan baharu akan terus komited dalam memperkukuhkan agenda Bumiputra dengan membuat penambahbaikan dasar yang ditinggal kerajaan sebelumnya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN