PUTRAJAYA – Peniaga di seluruh negara dikehendaki menyalurkan penjimatan daripada penetapan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) standard enam peratus kepada kadar sifar mulai 1 Jun ini dalam bentuk harga yang lebih rendah kepada pengguna.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, peniaga juga diseru untuk tidak mengeksploitasi hasrat kerajaan menurunkan harga barangan dan seterusnya memberi manfaat kepada pengguna.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada 1 Jun ini dan akan mengumumkan tarikh pelaksanaannya kemudian.
“Oleh itu, semua peniaga hendaklah melaksanakan penurunan harga barang dan perkhidmatan berikutan cukai barang dan perkhidmatan yang dikenakan pada kadar enam peratus akan disifarkan mulai 1 Jun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport akan dikenakan GST pada kadar sifar berkuatkuasa mulai 1 Jun ini. – Bernama











