KANGAR 25 Mei – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri ini mendesak wakil-wakil rakyat di Perlis tanpa mengira fahaman politik masing-masing supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, dengan berdiri teguh di belakang Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
![]() |
|
MOHD. AISHAMUDDIN
|
Pengerusinya, Mohd. Aishamuddin Yaakob berkata, pihaknya yakin bahawa keputusan Tuanku Syed Sirajuddin dalam isu pelantikan Menteri Besar adalah selepas mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, GPMS negeri turut melahirkan rasa kecewa kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang menyebabkan kemelut pelantikan Menteri Besar itu berlaku, lebih-lebih lagi mempersoalkan keputusan baginda dalam isu berkenaan.
“GPMS negeri sehubungan itu berharap agar pihak terlibat dan seluruh masyarakat bertenang dan berdiri teguh bersama Raja Perlis. Ini kerana terdapat pelbagai urusan negeri yang perlu diuruskan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana sebaik sahaja Datuk Seri Azlan Man diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu, ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.
Pemecatan itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan sidang akhbar di ibu negara bersama wakil-wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN).
Berikutan itu, istiadat pelantikan Menteri Besar pada masa sama berlangsung dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dihadiri oleh seorang pun wakil rakyat daripada BN, yang dipercayai memboikot pelantikan Azlan. – UTUSAN ONLINE












