Giliran Mohd. Shafie angkat sumpah Ketua Menteri Sabah - Utusan Malaysia

Giliran Mohd. Shafie angkat sumpah Ketua Menteri Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Apdal selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah baharu di hadapan Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini hari ini.

Pelantikan Mohd. Shafie yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang itu susulan Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan memperoleh majoriti mudah sebanyak 35 kerusi DUN.

Ini bermakna kurang tempoh 36 jam Sabah mencatatkan rekod apabila menyaksikan dua presiden parti politik mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri di sini.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman yang memperoleh sokongan majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempurna mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin tepat pukul 11.06 malam, 10 Mei lalu.

Ahli Parlimen Semporna itu berjaya membentuk kerajaan hasil kerjasama antara Warisan bersama Pakatan Harapan dengan jumlah 35 kerusi DUN selepas enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sabah mengumumkan keluar parti dan menyertai Warisan semalam.

Tindakan enam ADUN terbabit lompat parti menyertai Warisan telah menyebabkan BN yang dibentuk bersama Parti Solidariti Tanah Airku (Star) kehilangan sokongan dan hanya memiliki 25 kerusi DUN.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Musa menegaskan beliau masih Ketua Menteri Sabah malah barisan menteri Kabinet yang mengangkat sumpah bersamanya pada Khamis lalu juga tidak melepaskan jawatan masing-masing.

“Perkara (letak jawatan) yang tersebar dalam laman sosial khususnya adalah tidak benar. 

“Justeru, saya masih Ketua Menteri Sabah dan baru sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri Sabah yang pertama selepas PRU-14 di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×