KUALA LUMPUR 24 Mei – Rangkaian pasaraya terbesar Malaysia, Giant telah menceriakan hampir 100 pesakit di wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini melalui lawatan amal mesra dengan mengagihkan bubur lambuk, kurma, kuih raya serta pelbagai barangan termasuk alat tulis.
Pengurus Cawangan Giant Setiawangsa, Izri Shahril Ishak berkata program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang selama ini dipraktikkan saban tahun bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kurang berkemampuan dalam menjalani kehidupan seharian.
“Tahun ini merupakan tahun keenam Pasaraya Giant mengambil bahagian dalam program kemasyarakatan seperti ini. Kunjungan kami kali ini turut disertai dengan maskot dan badut bagi menceriakan kanak-kanak ini. Insya-Allah, kami berharap program sebegini akan terus dijalankan melalui pemberian makanan dan pelbagai barangan kepada mereka.
“Biarpun jumlahnya tidak seberapa, namun kami mengharapkan sumbangan sekecil ini dapat meringankan beban mereka sekaligus menggembirakan hati kanak-kanak yang berada di sini,”
Tambahnya, tahun ini Pasaraya Giant memperuntukkan RM1.2 juta ringgit dan mensasarkan 33 lokasi seluruh Malaysia dimana 10 lokasi darinya difokuskan di sekitar Lembah Klang.
Turut hadir ialah Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Pediotrik Respirotri HKL, Dr. Norzila Mohamed Zainudin serta 10 orang kakitangan sukarelawan ‘Big Hearted Giant’ dari beberapa cawangan pasaraya Giant yang terpilih.
Menurut Dr. Norzila Mohamed Zainudin, program yang dilakukan oleh Pasaraya Giant ini perlu dipuji kerana bukan saja dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan malah mampu membuka mata pihak luar untuk sama-sama melakukan amal jariah di bulan yang mulia ini.
“Kami sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan kerana harus diingat, kebanyakan pesakit-pesakit yang ditempatkan di sini bukan semuanya berasal dari Kuala Lumpur malah ada yang datang dari jauh seperti selatan, pantai timur dan sebagainya.
“Alhamdulillah, kebiasaannya bila tiba bulan Ramadan, rezeki para pesakit terutamanya di Wad Pediatrik ini sangat melimpah ruah kerana ramai yang berbesar hati datang untuk menderma dan menghulurkan bantuan. Sumbangan ikhlas ini pasti dapat mengukir senyuman buat pesakit-pesakit ini. – UTUSAN ONLINE











