PASUKAN Selangor berjaya mencalarkan rekod enam kemenangan berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) pada kancah Liga Super apabila mengikat skuad Harimau Selatan itu dengan keputusan 2-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Terdahulu, skuad Harimau Selatan tampil garang apabila melakukan jaringan seawal minit kedua oleh pemain tengah, Gonzalo Cabrera, namun ia tidak mematahkan semangat pasukan Selangor yang bangkit menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Saiful Ridzuwan pada minit ke-14.
Penyerang import Selangor, Rufino Segovia berjaya menghukum kelekaan benteng JDT apabila mudah melepasi dua pemain pertahanan untuk meledakkan gol kedua selang dua minit kemudian.
Pasukan JDT yang terdesak untuk memburu gol penyamaan dihidangkan dengan banyak peluang di hadapan gawang sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain import baharu, Harry Novillo pada minit ke-67. Ia merupakan debut pertama pemain kelahiran Perancis itu pada aksi Liga Super musim ini.
Sebagai rekod, JDT kekal di persada liga dengan 25 mata, manakala Selangor berada di kedudukan kelapan dengan 11 mata.
Dalam satu lagi perlawanan Liga Super antara Perak dan Melaka United menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip satu mata selepas mencatatkan keputusan seri 0-0.
Perak pula gagal menggunakan kelebihan di laman sendiri untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut sekali gus kekal di tangga kedua liga dengan 20 mata, manakala skuad Sang Kancil pula yang mengutip 10 mata masih di kedudukan ke-10 liga.










