Kuasa besar 60 tahun usianya
tumbang dibadai gelombang 2018
negaraku kini telah berubah
aku baca dan aku teliti
setiap lembaran laman sesawang
laungan semangat gema gempita
darah muda yang tidak pernah
merasai sejarah duka 60 tahun lalu
menolak kerajaan lama
satu persatu
dahaga
anak muda dahagakan keadilan
anak muda dahagakan ketelusan
anak muda dahagakan kebenaran
dek terpalitnya parti keramat
dengan tohmah dan fitnah yang menular
hanya sekadar kerdipan mata
parti keramat musnah ditelan badai
kuasa rakyat penentu segalanya
kini harapan baru menjelma
hasrat rakyat yang lama terpendam dibela semula
pentadbiran telus dan cekap
menyinari buana
duka rakyat yang terkurung dahulu
kembali sirna
umpama terbit mentari selepas
taufan sengketa
harapan yang ditanam
di dalam benak kerajaan baharu
diminta kotakan janjinya
jangan sekadar omongan kosong
manifesto murahan buat belit rakyat
yang sedia terjerat dalam gundah
aku kini memejam mata
dalam aku amati
perjuangan parti keramat 60 tahun dahulu
akan berehat sementara
rakyat kita sudah terjaga
rakyat kita sudah cerdik menolak
pemimpin, hamba untuk rakyat
kita memilih dan kita juga menolaknya
tiada insan yang maksum di dunia
hatta Muhamad insan agung
lagi maksum pernah tertolak buah fikirnya
Khandak menjadi pilihan
taktik pertahanan kubu negara
sedarlah wahai nusa
rakyatlah kuasa sebenar
lima tahun sekali kita tunjukkan taringnya
kuasa kita mampu mengangkat mampu menolak
lapangan kritik kita berhemah
bila buruk tingkah
tiba masa kita ubah.
ALQASIMIY
UPSI, Tanjung Malim











