SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah di sini sebentar tadi menolak permohonan notis tunjuk sebab bekas suami pelakon, Serina Redzuawan kerana melanggar perintah persetujuan bersama yang ditandatangani mereka pada 27 Julai tahun lalu.
Hakim Syarie Salehan Yatim memutuskan demikian selepas meneliti afidavit permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 41.
“Saya menolak permohonan itu dan mengarahkan pihak plaintif memfailkan semula permohonan,” katanya.
Pemfailan notis tunjuk sebab itu dibuat berikutan tindakan Serina, 35, yang didakwa membenarkan kedua-dua anak mereka, Tristan Tareef dan Issabella Safiyya, masing-masing berusia tujuh dan enam tahun bermalam dengan bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau dikenali Chef Wan serta memburukkannya di media sosial.
Berikutan itu, Gavin kemudiannya memfailkan permohonan ex-parte pada 17 April lalu selepas Serina melanggar perintah persetujuan bersama selepas bersetuju untuk bercerai pada 27 Julai tahun lalu.
Pada prosiding kira-kira 5 minit itu, Serina sebagai pihak defendan tidak hadir ke mahkamah.
Sementara itu, Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, mereka menerima keputusan itu walaupun tidak mengetahui alasan sebenar penolakan permohonan tersebut.
“Kami akan memohon semula notis tunjuk sebab itu,” jelasnya. – K! ONLINE











