PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu lalu mengumumkan gaji Jemaah Menteri dikurangkan sebanyak 10 peratus berkuat kuasa serta-merta. Pegawai tinggi kerajaan lain pula diberi pilihan sama ada untuk ikut serta secara sukarela bagi membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan negara yang hutangnya kini mencecah RM1 trilion.
Keputusan drastik itu dibuat pada mesyuarat pertama Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau di bangunan Perdana Putra, Putrajaya dengan semua Jemaah Menteri bersetuju agar gaji mereka dikurangkan 10 peratus.
Perdana Menteri memberitahu, pemotongan gaji menteri itu dibuat bagi menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah hutang negara yang ketika ini telah mencecah RM1 trilion.
“Pemotongan ini berasaskan gaji asas menteri dan gaji menteri adalah lebih rendah daripada gaji pegawai tinggi kerajaan lain,” katanya.











