PASIR SALAK 31 Mei – Kepemimpinan dan ahli UMNO diharap menyokong usaha untuk menggabungkan kekuatan UMNO dan Pas bagi membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan dalam mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan Islam.
![]() |
|
TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
|
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sudah tiba masanya UMNO perlu berubah dari segi strategi berpolitik dengan mencari rakan yang selari perjuangannya dalam membentuk kerjasama itu tanpa perlu bergabung.
Menurutnya, sebaliknya cukup dengan bersatu hati dan semangat biarpun mempunyai cara politik yang berbeza serta berlainan parti.
Beliau juga percaya, ruang kerjasama itu boleh dijalinkan tanpa perlu menunggu tempoh masa lama setelah melihat perkiraan bilangan kerusi yang dimiliki oleh UMNO dan Pas di peringkat negeri serta Pusat.
“Saya rasa orang UMNO hari ini, rata-rata di peringkat akar umbi bersedia untuk bekerjasama dengan Pas. Saya rasa, saya boleh katakan begitu. Orang Pas tidak perlu masuk UMNO dan orang UMNO tidak perlu masuk Pas.
“Atas keinsafan ini, saya harap pihak Pas pun menyedari perkara ini di mana perlunya kita bergabung, bersatu pemikiran, tenaga dan satu perjuangan. Jika kita antara UMNO dan Pas ini masih hendak menunjukkan kehebatan masing-masing, kita tidak berupaya menghadapi tentangan daripada pihak lawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak yang berakhir tengah malam semalam di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai dekat sini semalam. – UTUSAN ONLINE










