APABILA kamera merakam acara Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan di Barclays Center, New York, Amerika Syarikat yang berlangsung pada pertengahan Jun tahun lalu, salah satu cerita yang paling mendapat tumpuan bukanlah mengenai bintang bola keranjang terkemuka U.C.L.A., Lonzo Ball. Sebaliknya perhatian lebih tertumpu kepada bapanya, LaVar Ball.
LaVar dipercayai mencampuri banyak urusan kerjaya anaknya. Dia juga akan membuat keputusan untuk sebarang perbincangan dengan pasukan profesional atau syarikat pakaian. Apa yang dilakukan oleh LaVar merupakan satu contoh yang melangkaui perihal bola keranjang, yang disifatkan sebagai ibu bapa helikopter di tempat kerja.
Keibubapaan helikopter merupakan satu fenomena yang lazim dalam kalangan kelompok kelas pertengahan atasan yang melibatkan generasi abad ke-21.
Boleh dikatakan, ibu bapa ini masuk campur dalam setiap aspek kehidupan anak-anak mereka, daripada pendidikan, persahabatan, kokurikulum dan banyak lagi.
Bahkan, hampir kebanyakan generasi milenium menganggap ibu bapa mereka adalah kawan baik.
Keibubapaan helikopter ini bermula dengan menghubungi guru sekolah tadika hinggalah jurulatih bola sepak, menghantar e-mel kepada guru sekolah dan pejabat kemasukan kolej. Lebih malang, ibu bapa jenis ini juga tidak mahu ketinggalan berhubung dengan majikan atau jurulatih anak-anak mereka.
Terperangkap
Istilah ibu bapa helikopter julung-julung kalinya digunakan dalam buku tulisan Dr. Haim Gintt pada tahun 1969 yang bertajuk, Parents and Teenagers. Istilah tersebut diguna pakai oleh remaja yang merasakan ibu bapa terlalu memantau mereka bak helikopter. Istilah tersebut menjadi popular dan tersenarai dalam entri kamus pada tahun 2011.
“Keibubapaan helikopter ini didefinisikan sebagai cara ibu bapa yang terlalu fokus kepada anak-anak mereka,” kata penulis buku Anxiety Disorders: The Go-To Guide, Prof. Carolyn Daitch.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Rawatan Penyakit Anxiety menjelaskan, secara umumnya ibu bapa sebegini mengambil terlalu banyak tanggungjawab terutama hal-hal berkait rapat dengan kejayaan dan kegagalan anak-anak.
Istilah ini sering digunakan dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah menengah atau kolej. Bagaimanapun, ia boleh berlaku pada semua peringkat umur.
Ibu bapa helikopter sanggup melakukan tugas-tugas yang boleh dilakukan sendiri oleh anak-anak seperti menghubungi pensyarah kerana mendapat keputusan yang teruk, mengatur jadual kelas dan sebagainya.
Sebahagian besar ibu bapa helikopter pada peringkat awalnya mempunyai niat yang baik. Bagaimanapun, mereka sering terperangkap antara kehendak mereka dan keperluan anak-anak.
Keterlibatan keibubapaan mempunyai banyak kebaikan kepada anak-anak. Misalnya, anak-anak merasakan diri mereka diterima dan disayangi.
“Isunya ialah apabila keputusan yang dibuat hanya berdasarkan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku, kita perlu ingat bahawa mereka mempelajari sesuatu tanpa keberadaan ibu bapa,” jelas Pengasas AskDoctorG.com, Dr. Deborah Gilboa.
Secara asas, menyiapkan tempat tidur untuk anak yang berumur tiga tahun, itu bukanlah memantau, tetapi jika anak anda berumur 13 dan anda melakukan semuanya, itulah dikategorikan sebagai ibu bapa helikopter.
“Jika kita beri sedikit ruang kepada anak-anak ini untuk menyelesaikan masalah mereka, kita secara tidak langsung membantu anak-anak yang boleh berdikari dan yakin diri,” kata Gilboa.
Keterlaluan
Cabaran dan kegagalan, katanya, mengajar anak-anak kemahiran baharu dan paling penting anak-anak mampu mengurus kegagalan tersebut.
Melalui cara begini kita memberi peluang kepada anak-anak untuk berusaha keras, mengalami rasa kecewa dan apabila berlaku kegagalan bantulah mereka. Pakar psikologi berlesen dan penulis Even June Cleaver Would Forget the Juice Box, Prof. Ann Dunnewold menyifatkannya sebagai keterlaluan.
Pada fasa kanak-kanak, ibu bapa helikopter sering bermain bersama-sama anak-anak dan mengarah pelbagai tingkah laku. “Apabila anak-anak masuk ke sekolah menengah, ibu bapa helikopter lazimnya akan menentukan siapa guru dan rakan anak-anak sehingga membantu melangsaikan kerja-kerja atau projek sekolah.
“Ibu bapa terlalu banyak melibatkan diri dalam kehidupan anak-anak dengan mengawal, melindungi dan mahukan kesempurnaan secara berlebihan,” kata Dunnewold.










