KOTA BHARU 23 Mei – Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan (PBPBSK) mahu pengendali The Red Warriors tidak melepaskan jawatan ekoran prestasi buruk yang diperagakan oleh barisan pemainnya selepas diaibkan 1-5 oleh Kuala Lumpur pada aksi Liga Super, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Timbalannya, Anuar Rajib berkata, Fajer Ibrahim wajib bertanggungjawab sepenuhnya diatas transformasi ‘luar biasa’ terhadap pasukan TRW sejak diberi mandat pengendalikan pasukan dari Sathit Bensoh.
“Saya harap dia tidak melepaskan jawatan ekoran prestasi buruk TRW ketika ini. PBPBSK mahu Fajer terus mengemudi pasukan sehingga tamat musim ini kerana penyokong mahu melihat hasil transformasi yang dilakukan beliau.
“Fajer yang memulakan perubahan 100 peratus terhadap TRW maka dia perlu menerima hukuman. Tiada yang lebih besar dari pasukan termasuk jurulatih itu sendiri,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Pada perlawanan tersebut, skuad muda Kelantan seolah-olah ‘mabuk’ lampu apabila mudah diratah Kuala Lumpur menerusi jaringan Guilherme De Paula (minit keempat, 23,), Paulo Jeseu (minit ke-10), Ashri Chucu (minit ke-78) dan Junior Aparecido (minit ke-86).
Sementara jaringan satu gol TRW disumbangkan oleh Shafiq Shahrudin pada minit ke-16, namun gagal menyuntik semangat kebangkitan pasukan.
Anuar memberitahu, kuasa penuh yang diberi kepada Fajer sebelum ini bukan membaik pulih pasukan tetapi lebih bersifat menghukum.
“Ini dapat dilihat apabila beberapa keputusan dari Fajer dilihat lebih bersifat peribadi yang akhirnya merugikan pasukan,” ujarnya.
Sepanjang mengendalikan TRW, Fajer melakukan perubahan drastik apabila menyingkirkan dua legenda pasukan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek dan jeneral padang, Mohd. Badhri Radzi (Piya). – UTUSAN ONLINE










