KUALA LUMPUR 31 Mei – Setiap restoran perlu dipastikan mempunyai tempat mencuci peralatan yang sempurna sebelum premis berkenaan dibenarkan beroperasi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kejadian para pekerja sebuah restoran membasuh pinggan menggunakan air kotor tidak sepatutnya berlaku.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa terdekat berhubung dakwaan beberapa premis restoran lain khususnya di Lembah Pantai turut tidak mempunyai kemudahan mencuci dengan sempurna.
“Saya sangat dukacita dengan insiden berkenaan malah apabila saya berkongsi dalam Twitter mengenai restoran berkenaan, ramai yang terkejut kerana berlaku di kawasan elit.
“Saya nak ucapkan terima kasih dengan tindakan pantas pihak DBKL yang menutup restoran berkenaan sejak semalam dan kita sedang menunggu laporan lengkap mengenai dakwaan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengagihkan bubur lambuk sempena program Ihya Ramadan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Bank Islam di sini, hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengarahkan sebuah restoran ditutup serta-merta selepas rakaman video mengenai pekerja restoran berkenaan membasuh pinggan menggunakan air kotor tular dalam media sosial.
Tindakan pekerja-pekerja di restoran berkenaan membasuh pinggan menggunakan air kotor mendapat kecaman daripada netizen. – UTUSAN ONLINE










