KUALA LUMPUR 31 Mei – Etiqa mengumumkan kerjasamanya dengan Sightcall bagi melancarkan perkhidmatan Bantuan Video Tuntutan Etiqa (E-Cleva) yang membolehkan perunding tuntutan Etiqa berinteraksi dengan pelanggan secara jarak jauh dengan panggilan audio video.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Insurance & Takaful, Kamaludin Ahmad berkata, melalui ciri-ciri ini, sebarang kerosakan sama ada pada cermin hadapan kenderaan atau kenderaan itu sendiri dan harta benda boleh dinilai dan diluluskan oleh Etiqa hanya dalam masa beberapa minit.
Katanya, fungsi audio berfungsi seperti perbualan telefon biasa tetapi fungsi video membolehkan perunding menilai kerosakan pada cermin, kenderaan atau harta benda secara terperinci melalui keupayaan E-Cleva menggunakan kamera telefon penuntut.
“Ini membolehkan pembuat tuntutan mengambil gambar atau merekodkan video bagi memberi gambaran jelas tentang kerosakan kepada perunding kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Apabila kerosakan selesai di nilai, perunding tuntutan Etiqa akan mengira kos baik pulih dan seterusnya mengeluarkan pembayaran kepada pihak yang membuat tuntutan.
“Sistem E-Cleva ini merupakan satu daripada contoh komitmen berterusan Etiqa bagi menawarkan pengalaman yang mudah dan pantas kepada pelanggan kami.
“Kebiasaannya pihak yang membuat tuntutan sering berhadapan dengan masalah untuk memandu kenderaan mereka ke bengkel atau mengatur temu janji dengan pegawai penilai bagi menilai kerosakan terhadap harta benda dan rumah. Tetapi dengan perkhidmatan ini pelanggan tidak perlu risau kerana pembayaran akan dibuat serta merta,” katanya.
Sementara itu Ketua Penjagaan Tuntutan Etiqa, Muhammad Azlan Noor Che Mat berkata, Etiqa terus berusaha untuk memacu inovasi, bukan hanya bagi pembayaran tuntutan motor, tetapi juga untuk insurans motor atau produk takaful.
“Pelanggan Etiqa dapat menikmati pengalaman tuntutan tepat dan mudah ini apabila menghubungi Etiqa Claims Careline di talian 1-300-88-1007,” katanya.










