Esscom kekal bagi memastikan keselamatan Sabah  - Utusan Malaysia

Esscom kekal bagi memastikan keselamatan Sabah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan dikekalkan selagi tahap keselamatan di negeri itu belum berada pada tahap terbaik, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perintah berkurung di kawasan itu masih diteruskan bagi memastikan tiada ancaman keselamatan serius daripada pihak luar di kawasan berkenaan.

“Kita akan teruskan pengawasan. Ini saya fikir masih perlu, selagi kita rasakan belum cukup selamat, selagi itu Esscom akan dikekalkan,” katanya pada sidang akhbar pertamanya selepas memulakan tugas di Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Ditanya mengenai ancaman Daesh dan kumpulan Abu Sayyaf, Muhyiddin berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan memberi taklimat kepadanya mengenai isu itu sebelum diteliti secara mendalam.

“Apa-apa yang mengancam keselamatan negara yang datang daripada pihak mana sekalipun akan kita ambil berat lebih-lebih lagi melibatkan soal penculikan, ancaman kepada nyawa dan rompakan,” katanya.

Mengenai isu masyarakat Rohingya yang diberi perhatian oleh kerajaan terdahulu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan berbincang dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengenai kedudukan mereka dan akan bertindak berdasarkan perbincangan tersebut.

“Walaupun kita tidak menjadi anggota UNHCR, atas asas kemanusiaan kita akan lihat apa yang boleh kita lakukan untuk tangani masalah itu,” katanya. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN