KOTA KINABALU 22 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat kru bot warga asing kerana dipercayai menggunakan bom ikan di perairan Pulau Mengalum di sini semalam.
Kesemua kru bot yang berusia antara 25 hingga 32 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah bot bersama muatan ikan seberat 50 kilogram di perairan terbabit.
Pengarah Maritim Zon Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Adam Aziz berkata, keempat-empat suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan lesen bot yang sah.
“Ketika melakukan rondaan Op Api di sekitar Pulau Gaya, pasukan penguatkuasa mengesan sebuah bot memasuki perairan Pulau Mengalum dalam keadaan mencurigakan.
“Justeru, pihak kami segera bertindak memintas bot terbabit dan hasil pemeriksaan dijalankan kami menemukan muatan ikan yang disyaki ditangkap secara haram menggunakan bom ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Adam, kesemua suspek kini ditahan manakala bot yang tidak mempunyai lesen pendaftaran termasuk bekalan ikan turut dirampas untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE










