Elak puasa jadi 'kurus' - Utusan Malaysia

Elak puasa jadi ‘kurus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAKAH batal puasa apabila kita tidak menjaga mata semasa berpuasa. Contohnya melihat benda haram.

Dalam aspek hukum fikah, puasa tidak batal apabila kita tidak memelihara mata. Contohnya mata kita liar melihat benda haram semasa berpuasa. Namun dalam aspek tasawuf, pahala puasa akan berkurangan.

Satu hal yang perlu diakui bahawa kita hidup dalam suasana bercampur-gaul masyarakat pelbagai etnik dan agama. Ini tidak dapat dielakkan. Percampuran sebegini berlaku di pejabat, sekolah dan sebagainya.

Selagi mana kita tidak melihat dengan nafsu syahwat maka ia sesuatu yang normal. Pada masa yang sama, kita hendaklah terus meningkatkan ketakwaan dengan terus memelihara pandangan mata.

Tidak wajar ‘lompat’!

 WAKIL rakyat kawasan saya menang tipis dalam pilihan raya. Terdapat ura-ura beliau ingin bertukar parti atau lompat parti. Adakah tindakan sebegini wajar?

Demokrasi adalah satu sistem yang diperakui dalam undang-undang negara. Maka tidaklah menjadi satu kesalahan untuk bertindak sebagai pembangkang. Iaitu tidak salah dalam aspek undang-undang dan agama atau syariah. Pihak pembangkang yang bertindak dalam kerangka perlembagaan dan undang-undang bukanlah khawarij.

Kewujudan pembangkang adalah penting. Pembangkang bertindak sebagai pengimbang kepada kerajaan. Dengan kewujudan pembangkang, pihak kerajaan akan bertindak dengan sebaik mungkin. Jika tidak bertindak dengan sebaiknya, kemungkinan rakyat akan membuat perubahan pada pemilihan akan datang. Dengan ini, rakyat dan negara akan mendapat kebaikan yang banyak.

Justeru itu, tidak sewajarnya budaya melompat parti berlaku dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen (MP).

Rasional berjemaah hanya tiga malam

ADAKAH benar bahawa sunah Nabi SAW hanya solat malam atau solat tarawih pada tiga malam pertama sahaja?

Ada disebut dalam riwayat hadis bahawa Nabi SAW bersolat malam pada Ramadan pada tiga malam pertama. Kemudian baginda tidak keluar bersolat dengan para sahabat pada malam ke empat. Riwayat hadis ini bukan bermaksud bahawa sunah ialah tiga malam pertama sahaja untuk solat malam atau qiyam Ramadan.

Nabi tidak keluar bersolat kerana kebimbangan bahawa solat sunat itu difardukan. Ketika ini, solat tarawih tetap dihukum sebagai sunat. Maka kebimbangan itu tidak lagi wujud. Oleh itu, kita sewajarnya memperbanyakkan amalan khususnya dengan solat tarawih.

Solat tarawih kekal sebagai amalan sunat. Justeru, tidaklah berdosa jika meninggalkannya. Namun, adalah satu kerugian jika kita meninggalkan solat tarawih tanpa alasan yang wajar.

Setiap fatwa ada asas, dalil

SAYA penghidap asma. Adakah penggunaan inhaler membatalkan puasa? Ini kerana saya agak keliru apabila terdapat beberapa fatwa menyatakan puasa terbatal dan tidak batal.

Terdapat dua fatwa dalam isu ini, terbatal dan sah puasa dengan sebab penggunaan inhaler. Dalam hal ini, kedua-dua fatwa mempunyai asas dan dalil. Maka kita tidak perlu mempertikai keabsahan kedua-dua fatwa tersebut.

Namun begitu, apakah pendirian kita sebagai masyarakat?

  1. Tidak salah untuk berpegang dengan mana-mana fatwa. Jika kita memilih fatwa yang menyatakan batal, maka puasa kita dihukum sebagai batal. Jika kita memilih fatwa yang menyatakan tidak batal, maka puasa kita dihukum tidak batal.
  2. Terdapat satu kaedah yang disebut oleh al-Syeikh Ibrahim al-Bajuri iaitu sesiapa yang diuji dengan sesuatu, maka hendaklah bertaklid kepada orang yang mengharuskan. Maka seseorang yang diuji dengan penyakit asma adalah diharuskan untuk bertaklid kepada fatwa yang mengharuskan penggunaan inhaler tanpa membatalkan puasa. Ini lebih memudahkan kehidupan beragama.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN