Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat (AS) memahat sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah yang menerima kehadiran penonton paling terbanyak dalam sejarah penganjuran kejohanan tertinggi bola sepak itu.
Pada mulanya pemilihan AS sebagai tuan rumah menimbulkan keraguan terhadap beberapa pihak ekoran sukan bola sepak kurang terkenal di negara itu berbanding bola keranjang, ragbi dan besbol.
Walau bagaimanapun, sambutan yang diterima di luar jangkaan, malah hingga kini rekod kedatangan penonton secara purata di sembilan stadium bagi setiap perlawanan iaitu sebanyak 68,991 orang dan rekod itu gagal ditandingi oleh negara-negara lain sejak penganjuran kali pertama di Uruguay, 1930 hinggalah Brazil, (2014).
Secara keseluruhan, jumlah penonton yang menonton perlawanan melibatkan 24 pasukan dengan jumlah 52 perlawanan ialah sebanyak 3,587,538.
Dalam pada itu, buat pertama kali peraturan ‘backpass’ diperkenalkan sekali gus mengembalikan semula corak menyerang kepada pasukan-pasukan yang bertanding.
‘Backpass’ bermaksud pemain pasukan sendiri tidak boleh melakukan hantaran ke belakang untuk ditangkap oleh penjaga gol.
Jika penjaga gol menangkap bola itu, sepakan bebas di dalam kotak penalti akan diberikan kepada pasukan lawan oleh pengadil perlawanan.
Sebelum ini kebanyakan pasukan lebih suka menggunakan corak bertahan atau dikenali ‘catenaccio’ yang dipopularkan oleh Itali dan peraturan ‘backpass’ juga tidak diperkenalkan lagi ketika itu.
Bagi merancakkan lagi corak serangan untuk diaplikasikan oleh pasukan bertanding, Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut memperkenalkan kiraan tiga mata diberikan kepada pasukan yang memenangi perlawanan di peringkat kumpulan berbanding dua mata dalam penganjuran Piala Dunia terdahulu.
Edisi Piala Dunia Amerika Syarikat juga menyaksikan pasukan Jerman Barat dan Timur disatukan untuk penyertaan pertama mereka sebagai satu negara.
Brazil berjaya menjulang Piala Dunia buat kali kedua di Amerika Syarikat selepas menundukkan Itali 3-2 menerusi penalti penentuan selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam masa sebenar.
Di sebalik beberapa perubahan dan perkembangan positif dalam penganjuran Piala Dunia AS, tragedi pembunuhan pemain pertahanan Colombia, Andres Escobar yang ditembak mati selepas pasukannya tersingkir di pusingan awal sedikit sebanyak mencemari penganjuran kejohanan.











