SEREMBAN 23 Mei – Polis berjaya menyelesaikan 45 kes samun yang melibatkan kerugian lebih RM1 juta selepas menembak mati dua lelaki dipercayai saki-baki anggota Geng Mamak di Rembau, dekat sini semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 33 dan 35 tahun dengan alamat terakhir di Taping, Perak ditembak selepas mereka terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
“Kejadian berbalas tembakan antara suspek dan sekumpulan angggota polis itu berlangsung dalam tempoh kurang 10 minit. Kedua-duanya maut di tempat kejadian, manakala anggota polis terlibat tidak mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, dua rakan subahat mereka yang berada di dalam kereta berjaya melarikan diri ke dalam belukar berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Noor Azam memaklumkan, insiden berbalas tembakan bermula apabila sepasukan anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Seremban-Tampin, terserempak sebuah kereta Honda Accord dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Jelas beliau lagi, polis cuba menahan kenderaan tersebut tetapi suspek bertindak memecut laju ke arah Jalan Chengkau-Pilin, Rembau sebelum berjaya menghalang suspek dan berlaku insiden berbalas tembakan.
Beliau berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver .32, sepucuk pistol semi auto jenis Norinco 357 beserta lima butir peluru, dua bilah parang, sebilah kapak, topi dan vest berlogo Polis Diraja Malaysia dan lencana kastam.
“Berdasarkan maklumat dan penemuan barang-barang kes dalam kenderaan suspek, mereka disyaki saki-baki kumpulan samun Geng Mamak. Mereka disyaki terlibat dalam kejadian samun terhadap mangsa yang keluar dari bank di Lembah Klang dan negeri ini sejak 2015,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











