KUALA LUMPUR 31 Mei – Dua remaja nyaris maut selepas terperangkap dalam arus deras akibat banjir di ladang kelapa sawit di Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu dekat sini petang tadi.
Kedua-dua remaja tersebut Nurul Izzah Amir Hashim dan Noressyarenny Shariff masing-masing berusia 13 tahun berlindung berhampiran sebuah kandang lembu dalam ladang kelapa sawit berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.40 petang sebelum tiba di lokasi kejadian.
“Selain 14 anggota dan pegawai bomba, turut terlibat dalam usaha mencari mangsa ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan bomba sukarela dan orang ramai.
“Kedua-dua mangsa ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 8 malam tadi,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










